Antara kelebihan Ramadhan ialah puasa pada siangnya berlaku terus menerus selama sebulan. Kita sedia maklum bahawa sesuatu amalan yang dibuat berulang-ulang akan menjadi suatu tabiat.
Berpuasa dalam Ramadhan selama sebulan melahirkan satu tabiat kesederhanaan dalam diri seseorang muslim. Islam menyuruh seseorang Muslim besederhana dalam makan minum, berpakaian, tidur dan tutur kata.
Kita dilatih berbuka segera dengan tamar dan air kemudian terus menunaikan solat Maghrib. Makanan yang diambil haruslah tidak berapa berat agar memudahkan seseorang berdiri lama dalam tarawihnya. Adalah dilarang kita menghidangkan terlalu banyak makanan untuk berbuka atau sahur. Kita dituntut untuk tidur seketika pada waktu siang dan malam. Oleh kerana Ramadhan adalah bulan ibadah. Berlebihan tidur pada siang ataupun malam bererti menyia-nyiakan bulan barkah ini.
Pertuturan yang tidak dikawal dalam puasa Ramadhan mungkin memerangkap seseorang itu dalam kancah dosa umpatan atau pembohongan. Kedua-dua itu merosakkan kelebihan puasa. Seseorang akan kehilangan janji rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Kesemua sikap sederhana di atas disimpul dalam hadith baginda yang berbunyi:
اَرْبَعٌ اِذَا كُنَّ فِيْكَ فَلاَ عَلَيْكَ مِمَّا فَاتَكَ مِنَ الدُّنْيَا: حِفْظُ أَمَانَةٍ وَصِدْقُ حَدِيْثٍ وَحُسْنُ خَلِيْقَةٍ وَعِفَّةُ مِنْ طُمْعَةٍ
Empat perkara yang apabila ada padamu, tidak akan merugikan apapun (peluang) dunia daripadamu, iaitu: memelihara amanah, tutur kata yang benar, akhlak yang baik dan bersih dari tamak
(Hadith Riwayat: Ahmad)
Terdapat manusia yang berasa rugi dalam kehidupannya apabila dia tidak berbohong, tidak bercakap banyak dan tidak membolot peluang orang lain. Namun hadith di atas menerangkan sebaliknya, bahawa dunianya tidak akan rugi. Dia akan dipercayai oleh manusia, dan diberkati Allah.
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الأَخِرِ فَلْيَقلْ خَيْرًا اَوْ لِيَصْمُتْ
Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah ia berkata yang baik atau diam
(Hadith Riwayat: Bukhari dan Muslim)
Hadith tadi membuktikan bahawa sesiapa sahaja asalkan Mukmin akan mempunyai tabiat yang sama, iaitu setiap perkataannya walau gurauan mengandungi ibadah kerana dia tidak akan berkata kecuali membawa kepada kebaikan. Kata-katanya mengandungi pengajaran supaya masyarakat lebih dekat kepada Allah, mengandungi dakwah, mengandungi ajakan untuk saling Bantu membantu, atau mengandungi kemesraan dan harmoni. Jika dia tidak ada apa-apa yang mahu diperkatakan maka diamnya lebih baik dan diamnya itu juga adalah ibadah.
Ketika kita rasa letih berpuasa jangan diungkapkan sesalan, tetapi hendaklah kita bersabar atas ujian letih yang sedikit itu. Ini adalah sesuai dengan Ramadhan digelar sebagai ‘syahru sabar’, bulan kesabaran.
No comments:
Post a Comment